Kesan-Kesan Pembentukan Persekutuan


Kesan-Kesan Pembentukan Persekutuan 1896

1.         Politik
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan peraturan yang stabil dan menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan. Perkara yang berkaitan dengan persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai, keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan diselaraskan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya arahan Residen Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa jabatan seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya, keretapi ditubuhkan. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral pertama pada 1 Julai 1896. Negeri-negeri Melayu Bersekutu bukan merupakan sebuah persekutuan dalam erti kata sebenarnya lebih merupakan kesatuan politik. Semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat khususnya Residen Jeneral yang berkuasa penuh dalam semua hal-ehwal termasuk kewangan. Punca utama hasil (duti eksport) juga dibawah kawalan kerajaan pusat. Tiada pembahagian antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Kerajaan negeri hanya mengikut arahan pusat dalam menjalankan pentadbiran. Penubuhan Jabatan Persekutuan menyebabkan tumpuan besar ke atas kerajaan pusat. Jabatan negeri mengikut arahan jabatan pusat.


Penubuhan persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Residen tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran. Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal oleh Pegawai Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang dipersetujui.

Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai Pegawai British yang diambil tugas. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara langsung oleh British. Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris (Perak) telah mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah melaksanakan desentralisasi (pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan Idris juga mendesak lebih ramai orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan. Penubuhan persekutuan membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak 1909.

2.         Ekonomi
Keseragaman dan kecekapan, keamanan dan keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan hasil dan hasil persekutuan dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua gabungannya. Keadaan politik dan peluang-peluang ekonomi telah menggalakkan pelabur-pelabur dari Negeri-negeri Melayu atau Seberang Laut untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi, khususnya bijih timah dan getah. Kedatangan mereka telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896 berjumlah $8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem jalan raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah memajukan lagi kegiatan ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904, sudah terdapat jalan raya sepanjang 2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340 batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah dan getah. Buktinya pada tahun 1889 eksport bijih timah Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan berjumlah 20000 tan. Pada tahun 1904, eksport bijih timah persekutuan ialah 70000 tan. Selepas penubuhan persekutuan, orang-orang Eropah mula mengambil alih penguasaan ke atas perlombongan-perlombongan bijih timah yang dikuasai oleh orang-orang Cina. Begitu juga dengan perusahaan getah yang semakin berkembang selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 – 50 ribu ekar dan 1909 meningkat kepada 200 ribu ekar yang ditanami getah.

3.         Sosial

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan peraturan. Jaminan keselamatan dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan imigran Cina dan India, lebih-lebih lagi terdapat peluang dalam perkhidmatan persekutuan dan perkembangan bijih timah. Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Selain itu, kedatangan imigran juga mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu. Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan, pelajaran dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat 52 buah klinik di persekutuan dan 1904 kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya dan 340 batu jalan keretapi). Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15 buah sekolah Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah Inggeris yang didirikan oleh kerajaan dan mubaligh. Pada tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar dibina khas untuk anak-anak golongan bangsawan. Pada tahun itu, kerajaan membina maktab teknik di Kuala Lumpur untuk menyediakan tenaga mahir bagi Jabatan Kerja Raya dan keretapi.


f
faktor perjanjian persekutuan 1895

Syarat2 perjanjian persekutuan 1895

kesan perjanjian persekutuan