Checklist:Dewasa atau tidak?

RAMAI orang yang telah mencapai kedewasaan umurnya, tetapi masih belum matang akal fikiran dan perasaannya, sikap hidup mereka masih kebudak-budakan dalam bertindak, berfikir dan melayan perasaan; orang-orang seperti ini walaupun sudah dewasa dan tua umurnya, tetapi mereka tidak akan mencapai kebahagian hidup yang sebenar-benarnya, kerana mereka menghadapi hidup dengan cara yang tidak wajar.

Periksalah diri sendiri, adakah anda seorang yang dewasa atau masih keanak-anakan dengan menjawab pertanyaan-pertanyaan di bawah ini dengan “Ya” atau “Tidak” di pangkal setiap soalan.

1.                  Dapatkah anda bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai?

2.                  Adakah anda cuba menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa?

3.                  Dapatkah anda melihat orang lain dipuji dan disanjung tanpa merasa iri hati?

4.                  Dapatkah anda menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka?

5.                  Dapatkah anda menguasai nafsu gelojoh anda yang ingin mendapat semua perkara yang anda fikir boleh dapat?

6.                  Bolehkah anda tidak merasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain?

7.                  Adakah anda terus berlaku saksama walaupun suasana keliling menghalangkan maksud anda?

8.                  Dapatkah anda menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya sampai anda benar-benar merasa tidak senang kerananya?

9.                  Bolehkah anda memandang jauh ke depan, umpamanya dengan sabar menanggung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu hingga menyebabkan anda merasa tidak berbahagia atau mendapat penyakit saraf?

10.              Dapatkah anda memberi persetujuan kepada pendapat-pendapat yang anda tidak setuju dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang?
11.              Bolehkah anda berbahagia sendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati?

12.              Bolehkah anda mengaku tidak tahu, tanpa merasa malu?

13.              Bolehkah anda menghadapi orang-orang tua atau orang-orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan yang tidak baik?

14.              Adakah anda telah lepas zaman berfikir bahawa lebih baik berlagak sebagai orang intelek atau orang jahat atau ganas yang mempunyai banyak kisah kejahatan?

15.              Adakah anda cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya dengan berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.

16.              Adakah anda mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda merasa tidak senang kerananya?

17.              Dapatkah anda berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai?

18.              Dapatkah anda bercinta kasih atau bersahabat mesra tanpa mengharap mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka?
19.              (A) Untuk wanita; dapatkah anda bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki tanpa berusaha menjadi pusat perhatian mereka?

(B) Untuk lelaki; dapatkah anda bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita?

20.       (A) Untuk wanita; adakah anda disukai oleh wanita-wanita lain sekurang-kurangnya mempunyai tiga orang sahabat wanita yang jujur?

            (B) Untuk lelaki; pada umumnya adakah anda lebih suka berada dalam kumpulan yang bercampur antara lelaki dan perempuan ataupun dalam kumpulan lelaki sahaja?

Berikan lima mata kepada setiap jawapan “Ya”. Orang yang berumur 30 tahun ke atas patut mendapat sekurang-kurangnya 80 mata dan orang yang berumur dua puluhan tahun patut mendapat 70 mata.