Menanti Ketika





alt

"Tahniah Imah, engkau memang layak dengan anugerah ini" puji Mardiana sambil merangkul tubuh Imah sebaik tamat upacara konvokesyen tengahari itu. Bertalu-talu ucapan tahniah diterimanya. Imah bersyukur. Walaupun anugerah bukanlah matlamat utama dia belajar, namun ia merupakan suatu kepuasan. Puas dengan usaha dan doa yang tidak putus-putus dikirim, serta tawakkal yang menebal di dada terhadap Allah, Tuhan pencipta kejayaan dan kegagalan.
"Bagaimanakah agaknya perasaan aku, jika berjaya melangkah masuk ke pintu syurga Allah di akhirat nanti?" soalnya dalam hati.
"Ya Allah, jadikan aku sebahagian dari tetamu syurgaMu!" doanya tulus.
Hari ini semua graduan meraikan kejayaan mereka bersama-sama keluarga masing-masing. Imah hanya bersendiri. Ibu tidak dapat hadir. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Penting katanya. Imah memahami. Ibu seorang yang bertanggungjawab di rumah besar itu. Kebajikan semua anak-anak terpikul di bahunya.
Imah memerhati kegembiraan teman-teman graduan yang lain. Melihat dengan pandangan mata yang mengharap. Menagih sesuatu yang telah sekian lama menjadi impian. Tiada bayangan yang dapat mengiringi. Kerana tiada rupa untuk ianya digambarkan. Hanya khayalan menjadi teman sepermainan perasaan itu.
Dilihatnya air mata ibu yang tidak henti-henti mengalir. Diperhatikan juga riak kebanggan yang terukir di wajah ayah. Si anak pula entah berapa kali dipeluk dan dicium oleh kedua orang tuanya.
Ibu bapa jelas puas. Perjudian hidup selama ini berbaloi. Si nelayan bertarung dengan ombak. Si petani bermandi peluh menguli selut dan lumpur. Si Penoreh getah menatang diri untuk sajian nyamuk waktu dinihari. Hanya satu matlamat yang dikejar. Walau wadah berbeza rupa dan paras. Untuk melihat anak-anak mereka mengecapi kejayaan.
Imah mengambil tempat di satu sudut yang jauh dari teman-teman. Dia malas untuk menjawab soalan jika ditanya tentang keluarganya. Tentu sekali ibu bapa teman-temannya akan bertanyakan soalan itu.
Bukankah konvokesyen hari untuk ibu bapa? Mana ibu dan bapamu pada hari bersejarah ini? Argh!
"Walau besar mana sekalipun dosa seorang ibu terhadap Allah, ibu tetap ibu.  Seorang insan mulia yang telah mengandungkan dan melahirkan kita semua ke dunia" nasihat  ibu sewaktu memberi tazkirah suatu masa dulu mengusik ingatannya. Dia tunduk tika lidah ibu menutur kalam nasihat itu. Dadanya sebak. Perasaan rindu mercup deras dari dasar hatinya. Melonjaknya untuk  bingkas bangun meninggalkan majlis ilmu itu seketika. Ibu memandangnya. Dia  terus juga berlalu. Maju ke biliknya, pantas. Bimbang air matanya gugur di hadapan sahabat-sahabat yang lain.
Belum pernah Imah menangis di hadapan mereka. Belum sekalipun air matanya menempiasi perasaan mereka. Belum lagi deria dengar mereka menghalusi bait-bait syair cinta ilustrasi rindu gubahan jiwanya.
Tak perlu! Mereka tidak perlu menghalusi syair itu.
Imah hanya melagukan syair cintanya di hadapan Allah. Suka, tawa, sedih, pilu, tangis, duka yang merentasi denai perasaan; berkocak di muara hati, pasti pada Allah Taala jualah tempatnya menitip bait-bait rintihan dan luahan, mengadu segala yang berbuku di sanubari.
Menangis di hadapan Allah lebih memuaskan. Ketawa ketika berbicara dengan Allah lebih menggembirakan.  Allah Maha Mengetahui gurindam perasaan, kerna Dialah yang menciptanya. Walau apa sekalipun bentuk parasnya, di atas kudrat dan iradat Allah jua terbinanya perasaan itu.
"Mujur juga ibu tidak menghalang aku ketika bangun meninggalkan majlis pada malam itu" dia berbisik sambil menekup mukanya dengan kedua telapak tangan.
*****
Dia rindukan mamanya. Wanita  yang bertanggungjawab atas kehadirannya ke dunia. Di rahim mama  Allah tempatkannya sementara. Sembilan bulan lebih dirupa bentukkan sebelum menjengah ke alam kedua perjalanan hidup seorang hamba. Walau mata belum pernah bertentang, walau jasad tidak pernah berdakap. Namun kahangatan cinta terasa benar membakar jiwa. Cinta seorang anak terhadap insan yang telah melahirkannya ke dunia. Disyairkan kalam cintanya setiap kali mengutus doa terhadap Yang Maha Esa.
Cerita  ibu, mama seorang yang penyayang. Cantik rupa paras serta santun tutur kata. Tenang ketika berbicara walaupun dalam keadaan sedih. Seperti, saat mama meninggalkan Imah di bawah jagaan ibu.
Imah senyum. Mungkin sikap mama ini yang menulari jiwanya. Di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Sembilan bulan berada dalam kandungannya, mana mungkin tiada persamaan antara mereka, biarpun hanya sekali meneguk susu di pangkuan mama.
Sejak Imah ditinggalkan mama bawah jagaan ibu, bersama dengan anak-anak ibu yang senasib dengannya, belum pernah sekalipun mama datang menjenguk. Namun kata ibu, mama pernah berjanji akan datang mengambil Imah hidup bersamanya.
"Mama Imah terlalu muda waktu itu. Gagal melawan kehendak nafsu. Liar bila nafsu sudah bermaharajalela. Sudah tidak kenal halal haram dalam agama" cerita ibu.
"Kita tidak boleh salahkan dia. Itu dosa dia dengan Allah. Imah kena banyak berdoa supaya Allah mengampunkan dosa mama. Doakan juga supaya Allah buka hati mama untuk bertaubat. Hari-hari Imah kena berdoa" nasihat ibu lagi.
Seingat Imah belum pernah dia terlalai mangirim doa untuk mama. Mintanya pada Allah, supaya semua dosa mama terampun. Pohonnya pada Allah, agar dibukakan pintu hati mama untuk bertaubat. Rayunya pada Allah, menerima taubat mama dan kekalkan taubatnya hingga akhir hidup mama. Diakhirinya doa tersebut dengan syair cinta, agar Allah pertemukan dia dengan mama walau hanya sekelip mata.
"Saya dengar, mak kandung awak, bohsia. Betul ke?"
"Mak kandung engkau tu perempuan jalang, tak payah la engkau susah-susah nak cari dia"
"Apa? Emak awak berzina dan lahirkan awak. Kemudian tinggalkan awak di rumah kebajikan itu. Jadi, awak ni, anak luar nikah? Begitu?"
Setiap kali persoalan atau kenyataan seumpama itu terungkap, hanya hati yang mampu berkata....memang. Mama memang seorang bohsia. Perempuan jalang yang menatang tubuh untuk lelaki-lelaki berwajah syaitan. Berzina sehingga melahirkan aku, anak di luar pernikahan. Mama seorang yang tidak bermoral dan sosial. Tidak takutkan hukum Tuhan. Mabuk menghirup kelazatan dunia. Khayal dibuai nafsu remaja.
Tapi! Dosa-dosa mama tidak mencantas dahanan kekeluargaan kami. Sehina manapun mama di mata masyarakat, mama tetap ibu kandungku. Sekeji manapun dosa mama terhadap Allah, namun susunya pernah kuteguk untuk terus mandiri di bumi Allah ini. Tiada dosa yang tidak terampun selain syirik mendua tigakan Allah. Itu kalam Allah. Wajib diimani.
"Mama, baliklah! Pulanglah ke pangkuan Allah. Bertaubatlah selagi pintu itu belum terkunci. Anak mama yang pernah mama tinggalkan di perkarangan rumah kebajikan itu sedikitpun tidak pernah membenci mama. Tiada dendam yang bertunas di jiwa anak mama ini. Malah, Imah bersyukur kepada Allah kerana mama tidak meninggalkan Imah di tempat-tempat yang bisa memisahkan nyawa dan tubuh Imah. Mama, lihatlah! Imah kini bukan lagi berusia satu hari seperti saat perpisahan kita" rayu hati kecilnya.
Imah meneguk air mineral. Perit tekaknya menelan air kerana sebak.  Matanya yang berkaca-kaca masih lagi memerhati dan mengharap. Memerhati keriangan teman-teman meraikan kejayaan bersama keluarga tersayang. Mengharap kalau-kalau kelibat ibu muncul di pandangan. Mana tahu, urusan ibu cepat diselesaikan. Boleh juga menyimbah kehangatan rindunya.
Dalam gundah Imah bersyair. Syair indah sastera Arab kiriman teman yang kini sedang menuntut di Mesir melalui email. Dihafalnya dan dibaca sentiasa sebagai  motivasi diri untuk berpenat-lelah menyemai amal di bumi, agar tidak kecewa saat menuai hasil di Mahsyar nanti.
"Kamu telah dilahirkan oleh ibumu wahai anak Adam dalam keadaan menangis......
dan manusia di sekelilingmu sedang ketawa gembira....
dan beramallah untuk suatu hari dimana mereka pula yang menangis...
pada hari kematianmu yang mana engkau ketawa gembira"
"Kamu inginkan syurga, tapi tidak menelusuri jalan-jalan ke arahnya....
sesungguhnya sebuah bahtera tidak mungkin berlayar di pesisiran pantai"
Sebak dadanya hanyut sebaik arus syair itu menerjah. Langsung menyubur keceriaan yang hampir layu di jiwa.  Lalu, perasaan itu ditularkannya ke wajah. Bagi membenihkan sedikit tenaga mengukir senyuman supaya lidahnya lancar menutur zikir. Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!
"......Dan ketahuilah, dengan mengingati Allah itu hati manusia menjadi tenang" (Al-Ra'd : 28)
*****
"Assalamaulaikum, Naimah. Saya mengganggu awak ke?"
"Waalaikumussalam" jawab Imah sambil memalingkan mukanya ke arah suara tersebut. Imah terpempan. Lidahnya kelu. Tenaga yang menulari jiwanya tadi layu semula.
Di depannya berdiri seorang wanita bersama seorang anggota polis wanita dan ibu. Sebelah tangannya digari dengan tangan anggota polis tersebut. Lama mata mereka bertentangan. Membiarkan hati berbicara sendiri.
"Ya Allah! Mama rindu kamu, sayang"
Imah terus meluru langsung mengucup tangan wanita itu. Mereka berpelukan. Imah melepaskan segala perasaan yang sekian lama terkurung dalam rangkap syair cintanya. Bibirnya basah meratib syukur kepada Allah kerana dendam rindu kini berbalas.

Biodata Penulis

Mohd Zahid bin Abu Bakar merupakan anak jati Perak Darul Redzuan dan mahasiswi Universiti al-Azhar, Kuliah Usuluddin (Tafsir)di Kaherah, Mesir. Cerpen ini juga telah diterbitkan di www.penulisan2.my