Hidup Mewangi



Tika itu, cuti semester universiti bermula, sebelum semester akhir menjelma. Saya seperti biasa sudah semestinya pulang ke rumah. Pulang menjenguk ibu. Rasa belas saya buat ibu tak pernah surut.
Sudah lama saya tidak dibiaya sepenuhnya oleh ibu untuk belajar lantaran mendapat biasiswa daripada kerajaan sempena keputusan cemerlang SPM lima tahun lalu. Namun, kasih sayangnya masih laju berlarian dalam darah saya, tak pernah berhenti. Tapi, saya masih punya dua lagi adik untuk diberi makan dan minum.
Ibu sejak ayah tiada, terus faham akan dwitugasnya pada waktu itu, menjadi ibu dan bapa pada masa yang sama. Di bawah pohon ketapang di hadapan sekolah rendah berdekatan dengan rumah, ibu setiap pagi menjual nasi lemak dan tiga empat jenis cucur. Ibu kata, dalam hidup ni, kita tak boleh harapkan bantuan orang sahaja. Mesti ada usaha sendiri juga, biarlah sepahit mana pun. Sebab kita tak tahu masa hadapan kita.
Pagi itu pagi biasa. Ibu buka payung niaga, lalu kami berniaga bersama-sama. Saya hanya benarkan ibu membuka payung dan meja sahaja, tapi urusan niaga lain saya cuba ambil alih. Sejak pukul dua lagi, ibu mengejutkan saya. Paginya dimulakan dengan dua rakaat solat tahajjud dan sedikit iringan zikir di atas sejadah. Ibu kata, biar sedikit tapi istiqamah, itu lebih Nabi kita suka. Seterusnya, dia mula sibuk dengan adegan membuat nasi lemak dan kuih hingga subuh.
Kerusi biru itu saya biarkan ibu duduk, saya berdiri di belakang meja untuk melayan pelanggan. Ibu seperti biasa, hanya tersenyum. Kadangkala bersembang juga dengan pelanggan-pelanggan tetapnya. Sudah lama dia buat kerja ini, tak pernah pula kami dengar rungutannya. Ibu memang cool lah!
Nasi lemak tinggal tiga bungkus, cucur pun dah tak banyak. Alhamdulillah, hari ni nampak gayanya boleh balik awal sikit ke rumah. Begitulah resam sang peniaga, untung belum tentu. Ada rezeki, insya-Allah banyaklah untung.
Belum sempat sembang sepatah dua bersama ibu, datang sebuah motor Kapcai EX5 depan gerai kami. Seorang pemuda yang simple orangnya, berbaju t-shirt polo, berkain pelikat. Dia bukan sahaja borong semuanya, dia juga tika itu telah memborong jiwa raga saya tanpa saya sedari.

Hari ini, saya masih menggabus mata. Benarkah semua ini? Sudah hampir sebulan saya menjadi isteri orang. Di hujung usia pengajian, saya bina masjid dihujungnya.
Paling hebat, rupanya saya sudah berkahwin dengan seorang jutawan soleh. Hingga jadi isterinya, baru tahu dia seorang jutawan. Warak betul.
Pernah satu ketika, saya tanya kepadanya.
" Abang tak menyesal ke kahwin dengan saya yang miskin?"
Dia pantas tersenyum, dengan janggut sejemput cute.
" Insya-Allah, abang tak pernah menyesal. Sebab doa abang untuk jodoh abang ialah moga Allah kurniakan abang seorang isteri yang cintakan Allah dan Rasulullah melebihi diri abang. Itu sahaja. Dan hari ini abang yakin, awaklah pilihan istimewa Allah buat abang."
Ayat dia mudah, tapi menyusuk kalbu saya. Semenjak itu, hati saya jadi lebih berbunga-bunga untuk mencintai Allah Subhanallah Ta'ala dan Rasulullahi sallalahu 'alaihi wa sallam.
Berbunga dan terus berbunga. Mekar mewangi sepanjang hidup, insya-Allah.

Biodata Penulis

Muhammad Iqbal Bin Samsudin hanya seorang hamba. Bukanlah seorang pemikir, tetapi sering berfikir. Seorang Muslim yang ingin sentiasa mencari redha Ilahi. Mengejar rahmat yang Maha Tinggi. Beliau berkongsi karya di http://www.ibnuddin.com